Awie terima ribuan mesej angkara berita palsu kematiannya

Gara-gara penyebaran berita palsu kononnya beliau meninggal dunia akibat kemalangan pada Sabtu lalu di Phuket, Thailand, vokalis Wings, Awie, menerima puluhan panggilan termasuk daripada keluarga dan rakan. Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, berkata beliau turut menerima lebih daripada seribu mesej bertanyakan keadaannya, termasuk menerusi aplikasi WhatsApp. “Telefon saya berdering tanpa henti sehingga ke hari ini. Ramai juga menghantar mesej bertanyakan keadaan membuatkan saya pula yang tidak keruan. “Kasihan anak-anak saya terutamanya, mereka berasa amat risau dengan berita itu. Begitu juga dengan keluarga dan rakan-rakan lain. Maklumlah, saya sedang menjalani penggambaran filem ‘Bikers Kental 2’ di Phuket. Agak susah sedikit mereka mahu berhubung dengan saya,” katanya kepada BH Online. Berita viral berkenaan menjadi bualan ramai netizen, sehingga kebenarannya menjadi tanda-tanya memandangkan ia bukan kali pertama Awie difitnah sedemikian rupa. Sebelum ini, dunia hiburan turut kecoh apabila ada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi laporan mengenai seorang lelaki yang turut dikenali sebagai ‘Awie Lahad Datu’ meninggal dunia akibat kemalangan pada November 2013. Difahamkan sehingga kini, ia menjadi berita palsu kematian Awie yang ketujuh. Sementara itu, Awie berkata sudah tiba masanya untuk beliau bertindak serius mengenai perkara itu agar ia tidak berulang. “Saya sudah memaklumkan kepada peguam saya dan beliau sedang meneliti perkara itu. Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita itu agar ia tidak berlaku lagi. “Sesetengah pihak yang sengaja mereka cerita untuk mendapat perhatian, sekali gus dapat menjana wang daripada kerja yang tidak bertanggungjawab itu. “Apa yang saya buat ini bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga selebriti lain yang berdepan nasib sama,” tegasnya yang berlakon bersama Zizan Razak dalam filem berkenaan.

Rahmad terkejut ahli kumpulan tak benar guna nama ‘Mega’

Penyanyi, Rahmad, menyifatkan permintaan supaya beliau menggugurkan perkataan Mega daripada nama pentasnya oleh anggota kumpulan terbabit sebagai strategi promosi murahan. Rahmad atau nama sebenarnya, Rahmad Tohak, 44, berkata pemain bes kumpulan itu, Lomaq, tidak sepatut membuat kenyataan sedemikian berikutan perkataan ‘Mega’ di belakang namanya digunakan bagi mengenalpasti identiti dirinya. “Biasanya orang akan panggil nama saya Rahmad. Tetapi jika orang tanya, Rahmad mana? Sudah tentu pihak tertentu akan berkata ‘Rahmad Mega’. “Saya tidak faham kenapa isu seperti ini perlu dibangkitkan? Bagi saya, ia satu publisiti murahan dan mereka (kumpulan Mega) tidak patut pun membangkitkan isu ini. “Mungkin ada pihak ketiga yang sengaja ‘cucuk’ sehingga mereka membuat kenyataan seperti itu,” katanya kepada BH Online. Menerusi laporan akhbar BH hari ini, pemain bes kumpulan terbabit, Lomaq berkata sudah tiba masanya Rahmad menggugurkan perkataan Mega daripada nama pentasnya berikutan hubungan vokalis itu bersama kumpulan terbabit sudah berakhir selepas mereka berpecah. Beliau juga mahu Rahmad mencari nama lain bagi mengelakkan kekeliruan peminat memandangkan Mega sudah kembali membuat kemunculan semula dengan menampilkan vokalis baharu, Reyno. Dalam pada itu, kata Rahmad, kumpulan Mega sebenarnya tidak pernah pun dibubarkan. Cuma, kontrak mereka bersama syarikat rakaman Jojo’s Production Sdn Bhd tamat pada tahun 1996. Kemudian pada 2000, syarikat terbabit mewujudkan Mega baharu, tetapi masih menggunakan dirinya sebagai vokalis. Tidak lama kemudian, Rahmad memutuskan untuk tidak lagi bergerak bersama kumpulan itu. Bagaimanapun, katanya beliau pernah menjemput barisan asal kumpulan Mega untuk sebuah persembahan pentas, beberapa tahun lalu. Sementara itu, Rahmad berkata, anggota Mega sepatutnya melihat isu terbabit dari sudut positif kerana nama Mega yang digunakannya secara tidak langsung mampu menarik perhatian masyarakat untuk mendengar lagu baharu kumpulan terbabit, Pulau. “Isu nama Mega sebenarnya boleh dipandang dari sudut positif dan negatif. Dari sisi positif, ia memberi faedah kepada mereka yang mahu membuat kemunculan semula. “Dari dulu sampai sekarang, saya membawa nama Mega dalam industri ini. Tetapi jika ia dipandang dari sudut negatif, mungkin mereka rasa tercabar. Lebih-lebih lagi mereka mempunyai vokalis baharu dan mahu tumpuan diberikan kepada kumpulan Mega, bukannya Rahmad. Apa pun, saya tidak pasti apa yang mereka fikirkan. “Mengenali anggota-anggota Mega, mereka sangat profesional dan tidak mudah terasa dalam segala hal,” ujarnya. Selain Lomaq dan Reyno, Mega turut dianggotai oleh Sam (gitar), Adie (gitar) dan Joey (dram).

5 selebriti meriahkan tayangan amal Redha

Lima bintang Redha bakal memeriahkan acara tayangan amal filem berkenaan di Suria KLCC, di sini, 23 April ini. Majlis yang akan bermula jam 10.30 pagi anjuran Persatuan Bekas Pelajar St John’s Institution (SJI80s) itu bakal menyaksikan kemunculan Nadiya Nissa, June Lojong, Susan Lankester, Susan Menon dan Izzy Reef. Menurut kenyataan dikeluarkan di sini, selain memeriahkan acara tayangan, artis terbabit juga akan beramah mesra bersama peminat yang hadir menonton naskhah arahan Tunku Mona Riza itu. “Selain berhibur bersama filem Redha, penonton berpeluang untuk beramah mesra bersama barisan pelakon yang hadir. Malah, jamuan tengah hari juga disediakan. Acara ini secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” kata kenyataan terbabit. Tayangan amal berkenaan diadakan dengan matlamat mengumpul dana untuk anak-anak istimewa Program Pendidikan Khas Integrasi SK Bandar Tasik Selatan dan Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Seri Tasik. Sebahagian daripada dana juga akan disalurkan kepada balu Muhammad Hafeez Hendroff Abdullah, iaitu ahli SJI80’s yang meninggal, baru-baru ini. Sebelum ini, SJI80s turut menganjurkan Malam Amal Ola Bola menerusi cawangannya, Eagles FC, Februari lalu, yang turut dihadiri dua bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh dan Bakri Ibni. Filem Redha terbitan Current Pictures yang diadaptasikan daripada kisah benar ini bukan sekadar penceritaan dan perjuangan sebuah keluarga dalam membesarkan seorang anak autistik, ia turut memaparkan konflik jiwa dan erti sebuah kehidupan bagi mereka yang berjuang membesarkan anak istimewa di tengah-tengah masyarakat yang kurang memahami. Bagi tempahan tiket atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Syed Abu Bakar di talian 012-385 4090 atau Mohd Razif Yusof (017-3562239).

Kenapa Ayu Damit kena jadi ‘gedik’?

Penyanyi, Ayu Damit, mengaku dirinya perlu menjadi ‘gedik’ ketika merakamkan sebuah lagu tema produk kesihatan berjudul Pasti Tak Cari Lain. Katanya, lagu tema untuk produk keluaran Jamu Mak Dara (JMD) itu dirakam olehnya pada bulan lalu, beberapa minggu sebelum beliau dan suami mengerjakan umrah di Tanah Suci pada 28 Mac lalu. Dirakam di sebuah studio di Kota Damansara, lagu yang mengetengahkan konsep Arab dan dangdut itu dicipta oleh Daqmie dan liriknya hasil tulisan Baiduri. “Tawaran menyanyikan lagu tema ini berlaku secara spontan. Abang Abib (Syed Muhammad Gaddafi Syed Ali) selaku Pengarah Urusan JMD yang menawarkan peluang terbabit. “Tiada alasan untuk saya menolak peluang ini kerana lagu itu sendiri saya rasa cukup unik. Ia mempunyai sentuhan dangdut dan Arab, selain elemen tradisional. Rentaknya memang lari daripada lagu yang pernah saya rakam sebelum ini. “Untuk disesuaikan dengan emosi lagu berkenaan, saya kena suntik sedikit elemen ‘gedik’ dan senyum ketika menyanyikannya,” kata Ayu yang mengambil masa tiga jam untuk merakamkannya. Pada masa sama, Ayu yang juga juara program realiti One In A Million musim kedua turut mempromosikan single terbaharunya, Dari Hati. Penyanyi yang bernaung di bawah Ukhwah Enigma Management memberitahu, sekali pun sibuk mengusahakan tanaman cili secara fertigasi, dunia nyanyian tidak pernah ditinggalkan. “Selalunya, saya beri tumpuan kepada nyanyian pada Jumaat hingga Ahad. Selebihnya saya sibuk dengan urusan kerja lain. Saya juga kini menguruskan jemaah mengerjakan umrah,” kata isteri kepada Syed Fauzi Syed Baharuddin ini. Sementara itu, Abib yang ditemui ketika mengadakan malam media bersempena 10 tahun JMD di Mont Kiara, baru-baru ini memberitahu, pemilihan Ayu dilihat tepat kerana beliau mempunyai vokal unik. “Walaupun Ayu memiliki vokal tebal dengan lenggok Sabah, namun jika diamati dan didengar betul-betul, lagu ini dibawakan olehnya dengan merdu sekali. Suara serak-serak basahnya juga menyuntik kelainan. Ia juga menjadi lagu tema pertama JMD yang dirakamkan,” kata beliau.

Cukup-cukuplah sebar video tu…

Keluarga lelaki yang videonya dirakam memaut cermin hadapan sebuah kereta yang masih bergerak menjadi viral di media sosial meminta orang ramai berhenti dari menyebarkannya.

Seorang ahli keluarga yang menghubungi Sinar Harian merayu kerjasama orang ramai bagi menghentikan fitnah yang tersebar.

“Lelaki itu dan isterinya hidup bahagia sekarang, insiden itu hanya satu perselisihan faham kecil dan sudah selesai.

“Jadi tolong hentikan fitnah ini kerana perkara ini menyebabkan keluarga mendapat malu,” katanya.

Menurut individu itu lagi, dia juga tahu siapa yang bertindak merakam dan menyebarkan video berkenaan kepada umum.

“Saya mahu orang yang rakam dan sebar video berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada keluarga kami atau dia akan berdepan tindakan undang-undang.

“Sekali kita buka aib orang, beribu kali tuhan akan buka aib kita, balasan ALLAH amat pasti…fitnah lagi bahaya dari membunuh…,” katanya.

Menurutnya lagi, dia juga mempersoalkan apakah individu yang merakam dan menyebarkan video berkenaan tidak berasa malu dengan perbuatannya itu.

Pihaknya yakin video itu sengaja disebar untuk memalukan keluarga lelaki itu.

Video berkenaan berkenaan telah dimuat naik ke laman Facebook semalam dan ditonton hampir lebih 1 juta pelayar.

The Jungle Book imbau kenangan

SELEPAS lebih empat dekad kejayaan filem animasinya yang kini menjadi salah sebuah filem klasik, The Jungle Book kembali dihidupkan ke layar perak

Untuk info, The Jungle Book merupakan filem adaptasi daripada buku cerita karya Rudyard Kipling.

Pertama kali bukunya diterbitkan adalah pada 1894 dan mendapat respons yang luar biasa di beberapa negara.

Walt Disney Pictures kemudiannya mengadaptasikannya kepada filem animasi dengan menggunakan judul yang sama pada 1967.

Ketika itu, filem animasi itu diarahkan oleh Wolfgang Reitherman dan watak Mogwli dialih suara oleh Bruce Reitherman.

Pada 1994, filem itu dibuat dengan judul Rudyard Kipling’s The Jungle Book dan diarahkan oleh Stephen Sommers. Manakala Jason Scott Lee yang berperanan sebagai Mowgli.

Kali ini, Walt Disney Pictures mempertaruhkan kreativiti daripada pengarah, Jon Favreau yang terkenal dengan karya-karya hebat seperti Iron Man, Elf, Zathura, Chef dan Cowboys & Aliens.

Menampilkan pelakon cilik, Neel Sethi sebagai teraju utama bernama Mowgli, menariknya filem ini juga apabila menggunakan suara barisan pelakon terkenal antaranya adalah bekas pemenang Oscar seperti Ben Kingsley, Lupita Nyong’o, Christopher Walken serta Scarlett Johansson.

Bukan itu sahaja, filem ini juga turut menggunakan suara Idris Elba dan Bill Murray.

The Jungle Book mengisahkan seorang budak lelaki bernama Mowgli yang dibesarkan oleh serigala di dalam hutan. Dia berkawan dengan seekor beruang bernama Baloo dan seekor harimau kumbang bernama Bagheera. Mowgli terpaksa meninggalkan keluarga serigalanya apabila dia diancam oleh seekor harimau, Shere Khan, yang membenci manusia.

Secara keseluruhannya, filem ini amat menarik untuk ditonton oleh seisi keluarga.

Kesan khas menerusi teknik imej janaan komputer (CGI) turut digunakan bagi menggambarkan kehidupan hutan, termasuk haiwan pengasuh Mowgli menghidupkan jalan cerita The Jungle Book.

Pendek kata, anda pasti akan terimbau kenangan ketika kecil semasa menonton filem ini dahulu.

Penulis memuji hasil kerja Favreau yang cukup teliti sehingga sekiranya anda menonton dalam format 3D, anda akan berasa seperti berada di dalam hutan bersama Mowgli.

Dari segi plot dan penceritaan, tidak banyak kejutan yang ada kerana ia masih mengikut perjalanan cerita asal dengan sedikit pengolahan.

Pujian buat Neel Sethi

Sama seperti beberapa penulis lain, penulis juga sependapat mengenai lakonan mantap Neel Sethi.

Biarpun pertama kali berlakon, namun pelakon cilik berusia 12 tahun ini memberikan lakonan yang cukup mantap di dalam filem ini.

Bahkan cukup segala rencah ketawa, suka, duka dan emosi yang dipamerkan oleh seorang pelakon cilik.

Manakala pelakon lain yang meminjamkan suara mereka juga memberikan keberkesanan intonasi suara yang cukup bagus untuk filem ini.

Secara keseluruhan, jika anda mencari karya yang sesuai untuk ditonton bersama seisi keluarga, filem ini adalah jawapannya.

Bekas senator didakwa akan sertai PKR

Bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor didakwa akan menyertai PKR dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik presiden parti berkenaan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut sumber seperti yang dipetik oleh Suara TV, Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan Ezam berhubung perkara itu.

“Apa yang saya boleh katakan ketika ini, kak Wan (Wan Azizah) telahpun mengadakan perbincangan bersama Ezam dan satu pelan sedang dirangka untuk membawanya kembali bersama PKR.

“Setakat ini hasil perbincangan amat positif dan Ezam dikatakan telah bersetuju untuk membantu mengukuhkan sokongan politik kak Wan di dalam PKR yang semakin merosot, malah Ezam baru-baru ini juga dilihat semakin ‘garang’ menyerang pentadbiran Najib dan itu merupakan sebahagian daripada strategi yang diatur,” katanya.

Sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu juga turut memaklumkan bahawa antara peranan dan tanggungjawab Ezam ialah mewujudkan ‘check dan balance’ di dalam parti yang ketika ini sedang didominasi oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali

“PKR ketika ini sedang dikuasai oleh Azmin dan orang-orangnya dan perkembangan itu dilihat sangat bahaya untuk politik Kak Wan.

“Azmin telah menggunakan kesempatan sebagai Menteri Besar Selangor untuk mengukuhkan kedudukan politiknya sekaligus menyebabkan pengaruh Kak Wan semakin lemah” katanya.

Ezam meninggalkan parti PKR pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyertai semula Umno pada tahun 2008.

Ezam sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Negara yang disandangnya sejak 2010 apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014.

Namun sejak 1 April lalu, Ezam tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kewangan, walaupun kontraknya masih berbaki sehingga tahun depan.

Nubhan, Firman sedia tarik laporan polis

PENYANYI, Nubhan Ahmad dan Firman Bansir sedia menarik balik laporan polis terhadap syarikat pelancongan yang dikatakan terbabit dalam penipuan pakej mengerjakan umrah.

Nubhan, 30, dan Firman, 27, kedua-duanya bintang kelahiran program realiti televisyen Akademi Fantasia berkata mereka sedia ‘berdamai’ selepas ada pihak yang dipercayai terlibat dalam penipuan itu tampil memohon maaf.

“Buat masa ini kami hanya menunggu kata sepakat anggota jemaah yang lain dan jika semua sepakat menarik balik aduan, saya dan Firman akan ikut.

“Kami tidak mahu perkara ini berpanjangan,” kata Nubhan.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, Nubhan berkata laporan polis dibuat ke atas Tiram Travel kerana hanya nama syarikat itu yang dikaitkan dengan pengurusan pakej umrah yang mereka ambil, apatah lagi semua urusan seperti penyediaan bag, kursus dan segala informasi juga berkait dengan agensi tersebut.

“Setelah gagal berlepas ke Mekah pada 1 April lepas, penipuan itu mula terbongkar apabila pihak Tiram Travel tampil membuat laporan polis menafikan mereka menawarkan pakej tersebut berikutan laporan polis yang kami buat.

“Hasil perbincangan, kami berpendapat Tiram Travel tidak terlibat dalam penipuan tersebut, malah syarikat itu seperti juga kami menjadi mangsa muslihat pihak ketiga untuk meraih keuntungan dengan menawarkan pakej umrah menggunakan nama agensi itu,” katanya.

Minggu lalu, Firman menerusi laman Instagram miliknya mendakwa, syarikat Tiram Travel menipu beliau, Nubhan dan 55 jemaah lain, termasuk ibu bapa dan adiknya yang sepatutnya dijadualkan berangkat ke Makkah pada Jumaat lalu, jam 8.45 malam.

Bagaimanapun, sejurus tiba di kaunter pendaftaran di KLIA, nama mereka tiada dalam senarai penerbangan, mengakibatkan juara Akademi Fantasia 2014 itu mengalami kerugian hampir RM20,000 manakala Nubhan yang membawa 12 anggota keluarganya pula kerugian sekitar RM50,000.

Dalam pada itu, Nubhan dan Firman merakamkan penghargaan kepada wakil Tiram Travel yang tampil membantu menyelesaikan masalah tersebut, malah turut menawarkan perkhidmatan bagi menyempurnakan impian kedua-dua penyanyi itu membawa anggota keluarga ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah, selepas dua kali gagal membawa keluarga ke Tanah Suci ekoran ditipu ejen umrah, kami akhirnya akan berlepas ke Mekah pada pukul tiga petang ini.

“Ini atas pertolongan Tiram Travel dan seorang individu yang sedia membayar kos bagi semua 37 jemaah terlibat dalam penerbangan kali ini,” kata Firman.

Menurut laporan akhbar, seorang ejen pelancongan wanita ditahan Sabtu lepas di KLIA bagi membantu siasatan kes tersebut.

Rafizi tolak spekulasi Ezam sertai PKR

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menolak dakwaan yang mengatakan bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik presiden parti berkenaan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut beliau, laporan berkenaan adalah tidak benar dan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.

“Tidak benar. Saya tidak ada apa-apa maklumat dan tidak pernah dengar,” jawabnya ringkas kepada Sinar Online hari ini.

Portal SuaraTv melalui sumbernya dilaporkan memaklumkan bahawa Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan Ezam yang dijangka akan menyertai PKR dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan memaklumkan bahawa portal SuaraTV merupakan saluran propaganda Umno dan tidak wajar diberikan terlalu banyak perhatian.

“SuaraTV merupakan laman yang menjadi saluran propaganda Umno. Jadi saya rasa tidak wajar diberi terlalu banyak perhatian.

“Berita tentang pertemuan Wan Azizah dan Ezam adalah palsu,”katanya.