Calon APO2016: ‘Growing Up Sucks’ Nyanyian SonaOne Juarai Carta iTunes

Penyanyi rap SonaOne tidak menyangka album sulungnya berjudul Growing Up Sucks berjaya menduduki tangga pertama carta iTunes Malaysia hanya selepas beberapa hari ia dilancarkan pada 20 Februari lalu.

SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafae Michel Lozach, 28, berkata, strategi hanya melancarkan album berkenaan menerusi platform digital ternyata tepat memandangkan penjualan secara fizikal semakin perlahan.

“Mendapat kedudukan tempat pertama adalah sesuatu yang luar biasa buat saya dan ia tidak dapat dilakukan tanpa sokongan peminat.

“Ia juga menunjukkan pembeli pada hari ini sudah bersedia beralih kepada digital kerana ia lebih mudah dan cepat,” katanya kepada mStar Online.

Tiga single daripada album tersebut iaitu No More, Hakeleh dan Firefly turut berjaya menduduki tempat pertama menerusi carta single iTunes sebelum ini.

Dalam pada itu, SonaOne berkata, peralihan dunia muzik dari album fizikal kepada digital bukan sesuatu yang negatif sebaliknya ia menunjukkan perkembangan industri muzik itu secara keseluruhannya.

SonaOne teruja apabila album pertamanya berjaya menjuarai carta album di iTunes.

Katanya lagi, pada zaman teknologi pada hari ini artis sepertinya perlu mengikut peredaran zaman agar dapat terus kekal relevan.

“Saya sendiri bukan datang dari zaman digital tetapi jika tidak ikut dengan trend terkini kemungkinan saya akan tertinggal di belakang.

“Apa paling penting sebagai artis saya mesti menghasilkan karya berkualiti dan dengan kegilaan media sosial pada hari ini ia lebih banyak membantu saya mempromosikan kerja dan lagu-lagu saya kepada peminat,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pencalonannya menerusi Anugerah Pilihan Online (APO2016), SonaOne berkata, dua pencalonan awal yang diterimanya adalah hadiah untuk peminat yang sentiasa menyokong kariernya sebelum ini.

Dia dipilih dalam kategori Penyanyi Lelaki Terhebat Pilihan Online dan Lelaki Tampan Pilihan Dnars.

Kata SonaOne lagi, kaedah pengundian APO2016 menerusi platform digital dilihat bertepatan dengan keadaan memandangkan peminat kini lebih banyak tertumpu di media sosial.

“Seperti saya sendiri memang aktif menggunakan media sosial dan saya mempunyai peminat yang terbaik dan mereka sering memberi reaksi, pendapat dan sokongan menerusi status atau gambar yang dimuatnaik.

“Dengan teknik pengundian secara online dan media sosial ia banyak kelebihan dan memudahkan kami sebagai artis untuk membuat promosi terus kepada peminat,” ujarnya.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu  http://apo.mstar.com.my

Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 juga boleh diikuti di laman Facebook https://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.

Jaga penampilan kekal relevan

Usia bukan penghalang bintang tersohor Datuk Rosyam Nor, 49, mengekalkan jenama dirinya malah memastikan penampilan sentiasa terjaga.
Baginya, imej menjadi keutamaan jika mahu memastikan diri kekal relevan dalam industri seni tanah air.
“Ramai pelakon lelaki seangkatan saya sudah tidak aktif dengan kerja seni.
“Tidak dinafikan industri ada ramai pelapis baru berbakat besar namun saya tidak gusar kerana yakin jenama Rosyam Nor masih utuh.
“Selain itu, apabila menjaga penampilan pasti orang akan terus menggunakan khidmat saya.
“Dalam soal ini saya tidak boleh lokek berbelanja kerana sedar kerjaya ini menuntut saya menjaga imej,” katanya.
Baginya, usia bukan penghalang untuknya bergaya asalkan kena dengan diri dan tidak keterlaluan.
Kata Rosyam lagi, sehingga kini masih ada beberapa stesen TV menawarkan watak utama kepadanya. Dia percaya antara resipi utama dalam mengekalkan momentum itu adalah sentiasa menitiberatkan disiplin ketika bekerja.
Bagaimanapun, dia tidak tamak mengaut semua tawaran sebaliknya akan memastikan watak yang diberikan sesuai dengan usianya.
“Alhamdulillah stesen TV masih percayakan saya. Biarpun sudah berusia saya masih diberi peluang melakonkan watak utama.
“Tidak sangka peminat juga masih mahu lihat saya pegang watak utama dan ingat semua watak lakonan saya. Sebagai contoh, Tailong dalam filem KL Gangster 2, sampai ke hari ini masih ada peminat panggil saya dengan nama itu.
“Soal watak, usia sebegini saya kenalah realistik. Tak bolehlah pegang watak lelaki yang bercinta seperti anak remaja.
“Mungkin watak suami atau lelaki yang sudah pu­nya anak lebih sesuai untuk saya,” katanya.

Ayat al-Quran hilang bertambah enam muka surat

Misteri kehilangan dua muka surat ayat suci daripada sebuah al-Quran di Masjid Hijau, Kampung Kedah pada Ahad lalu yang menjadi viral di seluruh negara tidak terhenti setakat itu.

Lebih mengejutkan, pengerusi masjid itu, Ahmad Abdul Hamid dan Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Islam Daerah Parit Buntar (PAPB), Khairul Nizam Mat Nor mengesahkan tambahan enam muka surat mengandungi ayat suci al-Quran daripada naskhah sama turut dikenal pasti ‘ghaib’ sejak petang semalam.

Ahmad berkata, apabila pendedahan dua muka surat ayat al-Quran hilang dibuat Naib Kadi PAPB, Mohamad Khori Junus di Sinar Harian kelmarin, Masjid Hijau terus menjadi tumpuan ramai penduduk setempat yang hadir untuk menyaksikan sendiri naskhah Al-Quran itu.

Bagaimanapun, satu penemuan susulan mengejutkan berlaku pada petang semalam apabila beberapa jemaah wanita yang hadir mengikuti kuliah Asar di masjid itu mendakwa mengesan tambahan ayat al-Quran turut hilang daripada naskhah sama.

“Perkara itu dimaklumkan kepada Khairul Nizam yang kebetulan hadir memberi ceramah Kuliah Asar di situ ketika itu.

“Setelah semakan teliti dibuat, beliau mengesahkan jumlah keseluruhan ayat Al-Quran hilang daripada naskhah itu sebanyak lapan muka surat,” katanya kepada media di sini hari ini.

Sementara itu, Khairul Nizam ketika ditemui menegaskan potongan ayat al-Quran daripada lapan muka surat ‘ghaib’ merupakan ayat 32 hingga 49 Surah At-Thur, ayat 1 hingga 26 Surah An-Najmi, Surah Az-Zariyat (ayat 7 hingga 51, Surah Al-Qamar (ayat 7-49) dan dua surah asal didakwa hilang iaitu Surah Ar-Rahman (ayat 41-78) dan Surah Al-Waqiah (ayat 1-16).

Menurutnya, dia segera meminta Mohamad Khori mengenal pasti jumlah sebenar muka surat mengandungi ayat Al-Quran hilang bagi mengelakkan dirinya tersilap tafsir.

“Namun, Mohamad Khori mengesahkan hanya dua muka surat sahaja hilang sewaktu dia menyemak al-Quran itu beberapa kali pada Ahad lalu.

“Demi kepastian, saya berulang kali menyemak naskhah al-Quran terbabit dan jumlah ayat al-Quran hilang memang bertambah,” katanya.

Khairul Nizam berkata, kejadian aneh ini sememangnya dipandang berat Pejabat Agama Islam Parit Buntar dan naskhah al-Quran itu turut diambil untuk diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPK).

Menurutnya, perkara itu turut dimaklumkan kepada Timbalan Pengarah JAIPK, Haris Fadzillah Abdul Halim sejurus ‘kehilangan’ ayat al-Quran itu disahkan dirinya.

“Bagi saya, kejadian ini sebenarnya satu petanda penting peringatan Allah SWT bahawa umat Islam di seluruh negara perlu kembali mengimarahkan al-Quran di dalam jiwa mereka.

“Salah satu potongan ayat al-Quran hilang menceritakan kejadian besar pada hari kiamat dan kita perlu mengambil iktibar kejadian ini untuk kembali bertaubat dan mengikuti ajaran Islam sebenar,” katanya.

Khairul Nizam berkata, pihaknya tidak menafikan kemungkinan berlaku masalah kesilapan pencetakan sewaktu naskhah itu diterbitkan, namun kemungkinan kejadian itu satu petanda peringatan daripada Allah SWT tidak boleh diketepikan.

Dalam pada itu, Mohamad Khori mengakui terkejut dimaklumkan berlaku penambahan ‘kehilangan’ enam muka surat ayat al-Quran dari naskhah al-Quran sama disemaknya.

“Pada Ahad lalu, saya mengakui beberapa kali menyemak semula setiap helaian muka surat pada naskhah al-Quran itu dan mendapati hanya dua muka surat hilang.

“Kini, helaian muka surat ‘ghaib’ semakin bertambah dan saya benar-benar takut serta insaf dengan kejadian tersebut,” katanya.

Ahmad Said ‘gila talak’, kata Azalina

 Tindakan Adun‎ Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan ‘usul’ undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman disifatkan sebagai ‘gila talak’.

Menyatakan demikian, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bekas menteri besar itu akan melakukan apa sahaja untuk menyandang jawatan itu semula.

“Semua orang tahu Ahmad itu gila talak. Dia akan cuba sampai dia dapat. Tetapi itu hak dia sebagai Adun,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai isu itu selepas menjadi tetamu program Dalam Radar terbitan Bernama Radio24 di sini, hari ini.

Persidangan Dun Terengganu hari ini dikejutkan dengan cadangan usul tidak percaya Ahmad terhadap Ahmad Razif, namun speaker Dun Datuk Mohd Zubir Embong menolak cadangan usul itu.

“Apabila speaker tolak, dia (Ahmad) akan kata speaker jahat dan sebagainya.

“Dulu jadi MB (menteri besar), memanglah dia gila talak, dia akan buat segala-galanya untuk jadi MB,” kata Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Azalina berkata, Ahmad tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan speaker yang menolak usul cadangannya itu.

“Sekarang ini ia tidak majoriti, jadi bagaimana usul dia (Ahmad) nak berjaya, jadi bagi saya hak dia nak masukkan usul tu dia boleh masukkan 100 kali pun, tapi ia akan ditolak,” katanya.

Usul undi tidak percaya kepada MB Terengganu

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Adun Kijal mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau mengemukakan usul itu ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Penggal Keempat Sidang Dun Ke-13 yang berlangsung di Wisma Darul Iman.

Ahmad berkata, usul yang dibawa itu adalah demi kepentingan rakyat Terengganu.

“Secara keseluruhannya, bahawa cadangan-cadangan di bawah Perkara 14 (6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, Peraturan 33 (xi) dan Perkara 33 (vi) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Bagi Negeri Terengganu Darul Iman.

“Yang Berhormat Yang Di Pertua, Perkara 14 (6) ini melibatkan Perlembagaan Negeri Terengganu adalah diantara pekerjaan Dewan yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negeri, yang mana ia tidak termasuk di dalam tertib yang biasa pekerjaan dewan, sebagaimana termaktub di dalam Peraturan 33(xi), Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri, yang mana cadangan ini tidak memerlukan kepada sebarang notis.

“Bagi maksud Perkara 14 (6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, Dewan hendaklah bersidang sebagai Jawatankuasa seluruhnya sebagai yang diperuntukkan di bawah Peraturan 33 (vi) Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi membolehkan ahli-ahli membuat undian. Notis juga tidak diperlukan bagi cadangan ini,” katanya.

Beliau menambah, Perkara 14 (6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang menyatakan: Jikalau Menteri Besar tidak mendapat kepercayaan daripada kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, maka ketika itu, melainkan dengan permintaannya Duli Yang Maha Mulia membubarkan Dewan Undangan Negeri, hendaklah dia menawarkan keberhentian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu jelasnya, dengan Perkara 14 (6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu, beliau mencadangkan bahawa Dewan Udangan Negeri yang bersidang semalam mengundi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

“Selain dengan itu, saya juga membawa cadangan dibawah Peraturan 33 (vi) Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu supaya Dewan yang bersidang pada ketika ini, bersidang sebagai jawatankuasa seluruhnya bagi membuat undian.

“Sukacita saya maklumkan pada Dewan yang mulia pada hari ini (semalam) bahawa Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu merupakan perlembagaan negeri ini, di mana dibawahnya Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu telah diperbuat. Oleh itu pematuhan kepada perundangan dan peraturan-peraturan ini adalah diperlukan serta tidak boleh dinafikan.

“Sukacitanya saya membawa peringatan bahawa menafikan perlembagaan negeri adalah langkah yang tidak berperlembagaan serta tidak mematuhi perlembagaan negeri, ini bermakna Datuk Yang Dipertua tidak boleh menolak usul ini, sekian saya bawa usul ini untuk perhatian Yang Dipertua,” katanya.